Pemain Harimau Muda A menjalani latihan di Gold Coast, semalam.Pemain Harimau Muda A menjalani latihan di Gold Coast, semalam.
Gold Coast: Perlawanan terakhir menentang kelab liga utama Australia, Brisbane Roar, esok dianggap jurulatih Harimau Muda A, Ong Kim Swee paling sengit dalam siri empat aksi persahabatan sepanjang dua minggu kunjungan ke Australia.

Malah, pengendali berusia 43 tahun itu bakal menurunkan kesebelasan terbaik dinilai menerusi prestasi barisan 25 pemain dalam tiga perlawanan sebelum ini.
“Sudah tentu ini perlawanan paling sengit saya jangka. Tak kira jika Brisbane Roar menurunkan pemain utama atau pemain simpanan, mereka tetap memiliki kualiti cukup tinggi berbanding tiga lawan sebelum ini.



Harap pemain serius

“Selepas tiga perlawanan, saya sudah nilai prestasi pemain dan mereka yang mempamerkan aksi terbaik akan diturunkan dalam kesebelasan utama. Harap pemain ambil serius perlawanan ini,” kata Kim Swee ketika ditemui, petang semalam.

Selepas pulang dari Australia, Rabu ini, pemain akan diberi cuti sempena Tahun Baru Cina dan kembali menyambung latihan untuk menghadapi aksi persahabatan menentang skuad kebangsaan Myanmar di Yangon, 22 Februari ini.

Kim Swee turut menjelaskan pemilihan Gold Coast sebagai lokasi kem latihan dan aksi persahabatan kerana faktor cuaca di sini lebih kurang sama dengan Malaysia.
“Jika kami ke Eropah ketika ini, cuaca di sana cukup sejuk dan tidak sesuai untuk pemain,” katanya.

sumber: Berita Harian